Wednesday, November 14, 2012

Aku Tunggumu Di Situ

Aku sentiasa menunggu...






Sudah hampir 9 bulan berlalu. Namun, semuanya masih segar di minda aku. Saat segalanya berubah dalam hidup aku, saat itu aku kehilangan separuh dari nyawa aku. Saat aku kehilangan Sara. Saat tuhan membongkar rahsia takdir di saat-saat terakhir aku dengan dia. Saat di mana tuhan merasakan sudah tiba masanya untuk Sara pergi dari cerita hidup aku yang belum selesai ini.

Aku kan pergi..
Bertemu kekasih abadi..
Tiba masanya..
Kau cari teman pengganti..

Tanpa aku sedar, titis-titis kenangan membasahi pipi saat lagu Teman Pengganti dimainkan di radio. Kerja di atas meja langsung tidak aku sentuh. Kenangan aku dengan Sara berputar sepertinya sedang aku menonton wayang lama di dalam kotak minda aku yang sepi. Farid yang memerhatikan aku sedari tadi hanya mampu menggeleng kepala. Biarlah apa orang nak kata, bagi aku, tempat Sara di hati aku tidak akan pernah ada pengganti kerana dia, hanya untuk aku.

"Sudah la tu weh... Yang dah pergi tu biarkan pergi... Jangan la nak diingat cerita lama... Nanti kau yang sakit.." kata-kata Farid yang memecah sunyi yang membalut hati ini tidak aku endahkan. Bagaimana nak aku lupakan? Kenangan dengannya hanya tuhan saja yang tahu..

Hari itu aku biarkan saja berlalu begitu saja. Perit dan sedih hati ini aku diamkan. Jika dilayan, mahu saja aku pejamkan mata dan jerit semahunya. Bunga bukan sekuntum, itu orang cakap. Tapi bunga tak pernah ada yang sama dan serupa. Tidak akan pernah ada yang sama dengan Sara.

Sedar tak sedar, jam menunjukkan pukul 6.00 pm. Masa pejabat sudah pun tamat. Kebanyakkan mereka sudah pun berkemas mahu pulang dari seharian mencari rezeki yang hahal. Aku? Aku biarkan hati dan minda aku melayang melayari kenangan yang lampau, tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Lagipun, kerja aku masih bertimbun atas meja. Untuk aku pulang 'on time' memang mimpi lah.

"Weh, aku blah dulu, kau stay office kan?" soalan Farid aku sambut dengan separa mengangguk. 

Memang selalu pun aku yang akan meninggalkan office paling lewat. Mungkin sebab kunci spare office aku yang pegang. Sudah banyak kali aku minta Kak Nora, admin tempat aku berkerja untuk bagi kunci office dekat orang lain, tapi memandangkan aku seorang saja yang belum berkahwin, permintaan aku selalu berakhir dengan leteran dan macam-macam lagi. 

Di office seorang diri tidak pernah menjadi masalah bagiku. Bukan nak cakap besar tapi, aku ni tidak percaya benda-benda karut seperti hantu semua tu. Ramai orang cakap, tak kena tak tahu. Tapi memang aku tak pernah kena jadi kenapa aku nak percaya. Kan?

Jam di tangan sudah pukul 11.35 pm. Kerja di atas meja sedikit pun tak luak. Esok dah nak kena present dekat client.. Aduh.. Macam mana ni.. Aku mengambil keputusan untuk pulang juga. 

"Kerja lebih masa bukan kira overtime pun." aku terus mengambil beg dan mengemaskan kerja-kerja yang ada di atas meja. 

"Esok aku datang dan siapkan lah." aku berazam.

Lampu pejabat aku tutup, pintu dikunci. Selalunya lewat begini bas susah nak dapat, kena cepat lah aku berjalan ke perhentian bas! Langkah kaki aku perhebatkan menuruni anak tangga. Nasib baik office tingkat 2, kalau tingkat 4, pukul 5 pm aku sudah cabut! 

Sampai saja di perhentian bas, aku pun terus duduk di tempat yang disediakan. Aku tengok kiri, aku tengok kanan. Kereta yang lalu-lalang banyak, bas yang lalu, tiada. Aku pasrah dan hanya menunggu. Suasana di situ malam ni agak pelik. Selama aku tunggu bas dekat sini, aku tak pernah rasa pelik seperti yang aku rasa malam ni. Biarpun hakikatnya belakang perhentian bas ini terpacak apartmen 20 tingkat yang sudah lama terbengkalai! 

Kisah apartmen belakang bus stand ni pun boleh tahan.. Dengan cerita bunuh diri lah, nampak hantu lah, macam-macam. Tapi macam biasalah, aku tak percaya semua tu. Cerita tapi tak ada bukti, semua orang boleh cerita.

Jam di tangan menunjukkan pukul 12 tengah malam. Memang sudah tak ada bas lah waktu-waktu macam ni. Aduh... Macam mana ni.. Tak kan lah aku nak menapak balik rumah, memang tak lah jawabnya! Aku cuba call member-member aku mana tahu mereka boleh tolong ambil aku dekat sini. Dalam aku sedang membelek-belek telefon bimbit aku, aku terhidu satu bau yang sangat wangi. Dengan pantas aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada orang. Bau yang menusuk ke lubang hidung aku tiba-tiba saja aku rasakan kenal. Bau minyak wangi Sara!

Keadaan menjadi pelik seketika. Macam mana tiba-tiba boleh bau Sara dekat sini? Mungkin aku rindu sangat dekat dia agaknya. Sekian lama terpisah sampaikan baunya pun aku terhidu-hidu sampai sekarang. Aku cuba hilangkan perasaan rindu yang tidak pernah luntur itu, tapi bau itu tetap tidak hilang! Dari seberang jalan aku terperasan. Ada seorang gadis sedang memerhati tepat ke arah aku. Seram sejuk tiba-tiba menyelubungi diri. 

Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke tempat lain. Cerita-cerita hantu yang aku dengar sebelum ni dengan pantas menerjah masuk ke otak. 

"Ah! Waktu-waktu macam ni lah kau nak ingat semua tu!"

Mungkin ini lah akibatnya aku sombong tak bertempat. Cakap aku tak percaya hantu sangat, kan sudah kena kacau! Walaupun aku tak melihat di seberang jalan, tapi aku perasan, kelibat gadis itu seolah-olah makin menghampiri aku. Aku hanya tunduk dan mencari nombor telefon Roy dengan pantas. Harap-harap hantu tu tak kacau aku lah malam ni.

"Awak." suara kecil yang datang dari depan aku benar-benar membuat aku sedikit terlompat dan terus terpandang tubuh yang berada di depan mata aku. Apa yang aku lihat benar-benar mengejutkan aku.

"Sara!" itulah perkataan pertama yang terbit dari mulut aku.

Muka gadis itu terpinga-pinga. Aku tidak gila! Aku tahu apa yang aku nampak! Sara memang ada di depan aku sekarang! Secara spontan aku terus bangun dan memeluk tubuh kecil yang berada di depan aku. Bau Sara tidak mungkin dapat aku lupa. Tapi bagaimana baunya dapat aku hidu dari jauh? Soalan itu aku lupakan dulu kerana terlalu rindu pada Sara. Agak lama aku memeluk gadis di depan aku yang aku yakin itu Sara tanpa berkata apa-apa. 

Aku kembali melihat matanya. Mukanya masih terpinga-pinga. Tak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu. Gembira yang teramat sangat! Cinta hati aku telah muncul kembali di depan aku.

"Sara, tolong jangan tinggalkan saya lagi." air mata gembira menitis saat aku pegang tangannya. Aneh, tangannya sejuk beku! 

"Sara, Sara sejuk ke?" soalan aku hanya disahut dengan anggukan kebingungan oleh gadis di depan aku ini.

Aku merangkul Sara dalam pelukan aku, memanaskan badannya dengan rindu aku yang akhirnya berlabuh jua.

..................................................................................................................


Kini sudah genap aku dengan Sara diketemukan semula. Hidup aku sekarang lebih bermakna. Hari-hari yang mendatang lebih indah bersamanya kembali. Tapi aku tak cakap yang semua orang suka aku kembali bersama dengan Sara.. Tambah-tambah Muaz, rakan serumah aku. Dia seolah-olah tidak senang dengan aku bila dia dapat tahu aku sudah berjumpa dengan Sara kembali.

Petang itu, aku tidak kemana-mana, jadi aku mengambil keputusan untuk lepak saja di rumah. Kebetulan, Muaz pun ada.

"Malam ni kau ada buat apa-apa tak? sapa Muaz.

"Aku keluar dengan Sara kot. Kenapa?" riak muka Muaz terus berubah.

"Weh, kau sedar tak apa yang kau cakap ni?" tanya Muaz lagi.

"Sedarlah. Aku bukan tidur pun! Kenapa?" aku sudah mula merasa rimas dengan perangai Muaz sejak kebelakangan ni.

"Yang kau sebut-sebut nama Sara lagi kenapa?! Kan aku dah cakap jangan sebut lagi nama dia dalam rumah ni!" aku terus bangun dan memandang Muaz.

"Apa masalah kau dengan Sara?! Aku tak pernah kacau hidup kau jadi kenapa kau nak kacau hidup aku?! Kau tak boleh tengok aku bahagia ke?!" aku terus melangkah masuk ke bilik aku.

Serabut kepala aku tiba-tiba dengan perangai Muaz. Apa kena dengan dia aku pun tak tahu. Asyik tak puas hati dengan aku dan Sara saja. Bukannya kami kacau hidupnya pun. Mungkin sebab dulu dia pernah cuba untuk pikat Sara tetapi tidak dapat membuatkan dia cemburu dengan aku sekarang.

Muaz melangkah masuk ke bilik aku. Dia seolah-olah serba salah dengan tindakannya tadi dan cuba untuk membetulkan keadaan.

"Weh.. Aku bukan apa.. Tapi aku risaukan kau ni.. Kau dah teruk sangat ni.." Muaz cuba untuk menyakitkan hati aku lagi.

Aku memandangnya tajam. 

"Aku malas nak gaduh dengan kau.. Kau cubalah tengok apa yang ada dalam kotak bawah katil kau tu. Aku rasa dah tiba masanya kau tengok balik." Muaz terus berlalu keluar.

Kotak? Kotak apa?

Owh.

Kotak tu.

Dulu.. Tiap-tiap hari aku buka kotak tu.. Tengok isi di dalamnya..
Tapi setelah Sara muncul kembali.. Kotak tu aku letak jauh-jauh.. 
Tak mahu aku ingat lagi apa yang ada dalam kotak tu..
Cukuplah aku bahagia sekarang..

Malam tu aku membuat keputusan untuk meminang Sara. Biarlah apa orang nak cakap. Aku tak kisah. Aku sayang Sara dan aku mahu hidup dan mati aku hanya dengan Sara.

Seperti biasa, kami akan berjumpa di taman permainan dekat dengan apartmen terbiar itu. Kata Sara, apartmen tu banyak meninggalkan sejarah untuknya. Mula-mula dia ajak untuk berjumpa di situ, aku agak takut-takut. Tapi setelah diceritakan yang dulu dia pernah menetap disitu, aku tidak lagi merasa takut. Apartmen itu ditinggalkan kosong setelah ramai yang mengadu "diganggu". Ini tidak terkecuali Sara dan keluarganya. Setelah apartmen itu dikosongkan, Sara dan keluarganya pun tidak ada pilihan lain kecuali menurut jejak pemilik yang lain.

Selalunya dia akan tunggu di buaian taman permainan itu. Suasana di situ agak sunyi dan tenang. Tidak ada orang yang kelihatan berada di situ. Kalau ada pun, orang yang kebetulan lalu di situ.

Kelihatan Sara duduk di buaian seperti selalu, menanti kehadiran aku. Dia tersenyum melihat aku. Selalu bila aku tanya mengapa pilih tempat ini untuk berjumpa, alasan dia mesti sama. Takut ibu bapanya tahu dia berjumpa dengan aku. Di sini, ibu bapanya pasti tidak akan syak yang dia datang sini semata-mata mahu berjumpa aku.

"Hai awak, lama tunggu?" aku duduk di sebelah Sara yang hanya memandang aku dengan senyuman.

Sara menggelengkan kepalanya.

"Awak dah makan ke?" tanya aku.

Sara mengangguk. 

Aneh. Malam ini Sara tidak banyak bercakap seperti selalu. Kalau tidak selalunya dia lah yang banyak bercakap.

Kami berbual agak lama. Namun begitu, malam ini Sara tidak banyak berkata-kata. Hanya senyuman yang dilemparkan kepada setiap ayat yang aku ucapkan.

"Weh! Apa kau buat dekat sini!" entah dari mana tiba-tiba Muaz datang menerjah aku.

Sedikit terlompat aku dibuatnya. Aku memandang tajam ke arah Muaz. Dia kelihatan menggigil ketakutan. Padan muka! Kalau dah tahu diri tu penakut, siapa suruh ikut aku!

"Hah Muaz! Kau nak sangat jumpa Sara kan? Sini lah tegur dia! Kau kan sukakan Sara dulu!" aku terus bangun. Perasaan marah aku membuak-buak. 

Tak bolehkah mereka melihat aku bahagia?

"Sara dah lama MATI!!!!" ayat Muaz seperti bergema di seluruh apartmen yang ditinggalkan itu. "Aku cuba nak beritahu kau perkara sebenar tapi kau tak nak dengar! Sampai bila kau nak hidup dalam penipuan ni!

Aku terdiam. 

Aku pandang ke arah Sara, dia hanya tersenyum. Memang aku tahu Sara sudah lama meninggal, tapi hati ini masih tak dapat menerima kenyataan itu. 

Di dalam kotak itu.
Semua memori Sara aku simpan.
Termasuklah berita dia dibunuh.

Gadis yang sedang duduk di buaian sebelah aku tiba-tiba hilang. 

"Aku tunggumu di situ, sayang." suara Sara bergema buat kali terakhir.


..................................................................................................................









No comments:

Post a Comment